Di bawah ini admin kongsikan beberapa petua sesuai dibaca dan diamalkan oleh para suami supaya dapat menjadi suami yang terbaik.
1 – IMAM
Perkara yang paling utama dalam membentuk sebuah kekeluargaan adalah melantik pemimpin. Pastinya suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumahtangga ke jalan yang lebih diredhai. Bukan itu sahaja, bagi anda yang bakal bergelar suami atau bapa, jangan hanya menyediakan hiburan tetapi sediakan juga ilmu-ilmu agama untuk membimbing isteri dan anak.
2 – MATANG
Ramai lelaki kelihatan seperti matang apabila yakin mahu berumahtangga. Hakikatnya, sikap matang ini tidak ada setelah berkeluarga. Oleh itu, suami perlu matang dalam membuat keputusan kerana sebagai seorang isteri, mereka akan sentiasa meminta pandangan suami untuk sesuatu perkara.
3 – PENJAGA
Ketika bercinta dulu, romantik bagai nak rak. Bila sudah berkahwin, berpimpin tangan rasa malu? Jadilah suami yang benar-benar menjaga isteri sehingga ke akhir hayat. Misalnya, apabila membantu isteri sewaktu dalam tempoh berpantang dan menguruskan perihal anak-anak kecil. Jangan pula berkira untuk bangun malam menjaga anak yang menangis kelaparan.
4 – MR. INDEPENDENT
Sila tahu menguruskan diri sendiri. Usah hanya mengharapkan isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh pakaian, menggosok pakaian mahupun hanya mencari stokin! Percayalah… Suami yang pandai melakukan kerja-kerja isteri boleh kelihatan comel dan romantik.
5 – BERPRINSIP
Badan sudah tegap malah berotot pula. Elak kelihatan lemah dengan hanya mendengar dan mengikut pandangan ahli keluarga jika berlaku perselisihan faham di antara suami isteri. Suami yang mempunyai pendirian dan tegas tapi lembut akan jadi hebat di mata isteri.
6 – SERBA TAHU
Jadilah suami yang serba handal. Isteri mana yang tidak kagum apabila suami mempunyai pengetahuan di dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Suami sebegini bukan saja menjadi kesayangan isteri tetapi termasuk mertua.
7 – CHEF
Lihat di sekeliling anda. Dunia masakan kini banyak dipelopori oleh kaum lelaki. Meskipun tidak layak untuk keluar di kaca televisyen, jadilah suami yang pandai memasak kerana suami adalah penjaga kepada isteri dan anak-anak. Jangan hanya tahu makan air tangan isteri saja kerana air tangan suami juga mampu mengeratkan hubungan suami isteri.
Semoga petua menjadi suami hebat di mata isteri ini mampu dilaksanakan demi hubungan rumah tangga yang berkekalan. Syurga dewi-dewi ini adalah di bawah tapak kaki suami dan bimbinglah ke arahnya. Jom jadi suami hebat hari ini.