Seandainya terdapat di antara wanita atau isteri yang mengalami masalah suami liar atau berlaku curang hendaklah banyakkan bersabar dan berdoa selalu. Amalkanlah doa pengikat kasih sayang ini, InsyaAllah dengan izin darinya kamu akan perolehi ketenangan dan dipermudahkan dalam menangani kesulitan dalam hubungan rumahtangga.
“Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepada-Ku nescaya akan Ku perkenankan bagimu.” [Surah Al-Ghaafir: ayat 60]
Di antara doa pengikat kasih sayang yang baik untuk diamalkan ialah :
“Ya Allah ya Tuhanku, selamatkanlah perjalanan suamiku pergi dan pulangnya. Dekatkanlah rezeki yang suamiku cari. Kuatkanlah kasih sayang suamiku hanya padaku seorang. Bantulah suamiku ketika aku tidak mampu membantunya. Elakkanlah suamiku daripada teringin kepada apa yang Engkau tegah. Cenderungkanlah hatinya kepada apa yang Engkau perintahkan.”
Doa ini hendaklah dibaca ketika di belakang suami sehingga dia hilang daripada pemandangan mata setiap kali dia keluar meninggalkan rumah. Tidak kira samada ketika dia hendak pergi ke tempat kerja atau ke mana sahaja. Amalkan setiap masa semoga suami tidak mudah tergoda dengan godaan-godaan di luar dan sentiasa di jalan yang benar.
Semoga berkat doa seorang isteri yang tidak putus-putus itu akan mengembalikan hati seorang suami untuk mengikut kemuliaan peribadi Rasulullah SAW.
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” – (Surah Al-Ahzab: ayat 21)