Jadi bagi mereka yang tidak biasa atau kurang arif untuk memeluk mahupun dipeluk, di sini ada sedikit tips yang dapat membantu anda. Sentuh wajahnya, belai lembut rambutnya, gosok lembut lengannya, kaitkan jari-jemari anda dengan jari-jemarinya, gosok lembut punggungnya dan sentiasa memandang antara satu sama lain.
Kenapa wanita suka dipeluk?
Kajian sains mendapati bahawa dengan pelukan ia berupaya untuk mengeluarkan sejenis hormon yang dipanggil oksitosin. Hormon oksitosin ini bertanggungjawab memancing apa yang disebut oleh para ilmuwan dengan ‘sepasang ikatan’. Dengar erti kata yang lebih jelas, pelukan boleh membuatkan setiap pasangan itu menjadi lebih dekat dan intim. Dalam perhubungan cinta, pelukan mampu untuk meneguhkan lagi ikatan antara lelaki dan wanita. Bagi diri wanita mereka menganggap pelukan ini merupakan suatu bentuk komitmen dan tanda kesetiaan pasangan. Sesebuah pelukan itu akan menjadi lebih bermakna seandainya ia dilakukan dengan secara tulus dan ikhlas. Pendek kata, wanita amat menyukai dan akan berasa bahagia apabila pasangannya memberikan pelukan kerana ia dapat memberikan maksud yang mendalam.
Kebaikan Memeluk
Memeluk atau dipeluk bukan sahaja dapat memberi manfaat buat diri dan pasangan anda untuk lebih merasa relaks secara fizikal dan emosi. Kenyataan ini turut disokong di dalam sebuah kajian di Chicago yang mendapati bahawa sesebuah pasangan itu akan dapat merasai kepuasan dalam perhubungan apabila mereka sentiasa saling memeluk dan mencurahkan kasih sayang. Hormon oksitosin yang dirembeskan dari otak seterusnya berupaya untuk mewujudkan perasaan tenang, bahagia dan seterusnya menggalakkan minat anda untuk meneruskan perhubungan secara positif. Oleh itu, aktiviti peluk memeluk ini dicadangkan untuk suami isteri agar dapat terus mengamalkannya seperti mana sewaktu anda muda-muda dahulu bercinta supaya hubungan rumahtangga menjadi lebih bahagia dan berkekalan.
Teringat akan kata ustaz-ustaz bahawa jika seorang suami yang suka dan rajin memeluk isterinya nescaya umurnya akan menjadi lebih panjang. Tetapi, kebanyakan suami hari ini masih ramai lagi yang tidak mengerti mengapa isteri sebenarnya suka dipeluk dan dimanja? Ini kerana bagi mereka, pelukan itu hanya merupakan suatu aktiviti fizikal dan kadang-kala boleh merimaskan mereka lebih-lebih lagi kepada lelaki yang sudah berumur. Sedangkan bagi si isteri, pelukan itulah merupakan suatu terapi jiwa dan pengubat kasih sayang yang dapat memberikan pengertian besar dalam hidup mereka. Kalau tidak percaya, si suami cubalah peluk isteri dan lihat apa responnya. Sudah pasti anda akan melihat dia akan menjadi lebih bersemangat dan tubuhnya yang sedikit lemah tiba-tiba menjadi lebih bertenaga.
Begitu juga kalau anda dapati seorang isteri yang suaminya jarang memeluk dan sering tiada di rumah. Semangatnya sentiasa lemah. Kalau buat kerja pun monyok dan tidak ada semangat. Jadi anda sebagai suami rajin-rajinlah menyentuh dan membelai isteri dengan penuh kasih sayang. Berikanlah mereka sentuhan yang secukupnya. Bukan dengan selalu mengadakan hubungan seks sahaja kerana isteri anda itu bukanlah haiwan tunggangan anda semata-mata demi untuk melempiaskan nafsu anda. Akhir sekali yang saya ingin kongsikan di sini ialah “dakaplah” isteri anda sebaik sahaja anda selesai memancutkan air mani ke dalam farajnya. Jangan setelah anda puas, anda terus meninggalkan dia. Kenapa saya berkata begitu, jawapannya pasti ada pada isteri anda. Sayangilah isteri!